Sunday, August 29, 2010

Refleksi 3 - Seminar Isu-isu Pendidikan (PPP 8063)

PERKEMBANGAN DAN PERUBAHAN KURIKULUM

Pada 14 Ogos 2010 kumpulan saya telah membentangkan tugasan yang bertajuk Perkembangan dan Perubahan Kurukulum.

Kami bahagikan topik ini kepada 3 bahagian iaitu imbasan sejarah Dasar Pendidikan Negara, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Imbasan sejarah dimulakan pada zaman pengukuhan tahun 1956 dengan Penyata Razak dan di akhiri dengan zaman kemantapan apabila lahirnya Akta Pendidikan 1995 dan 1996.

KBSR diperkenalkan pada tahun 1982 (percubaan) di 305 buah sekolah terpilih di seluruh negara dan pada tahun 1983 ia dilaksanakan sepenuhnya di semua sekolah. Isu yang berbangkit dalam KBSR adalah apabila pembentang menerangkan mengenai latar belakang KBSR di mana pada tahun 1994, terdapat perubahan pada subjek Alam dan Manusia di mana subjek ini adalah gabungan antara Sejarah, Geografi dan Sains. Satu permasalahan yang berlaku bilamana subjek ini digabungkan ialah apabila pelajar berada di peringkat sekolah menengah, mereka agak lemah dalam matapelajaran Sains. Akibat daripada kelemahan pelajar dalam subjek Sains ini, hasrat kerajaan untuk mendapatkan nisbah 60:40( Sains : Sastera) untuk pelajar yang mengambil aliran Sains dan Sastera di tingkatan empat tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, perubahan di lakukan pada tahun 1994 dengan memecahkan subjek Alam dan Manusia ini kepada dua subjek yang berlainan iaitu Sains dan Kajian Tempatan. Beberapa perubahan-perubahan dalam KBSR telah dilakukan mengikut perkembangan kehendak semasa seperti penggunaan teknologi maklumat dalam proses P&P, PPSMI, cadangan pemansuhan UPSR, dan yang terkini Program LINUS ( Program Literasi dan Numerasi).

KBSM pula diperkenalkan pada tahun 1988 untuk subjek Bahasa Melayu dan diperkenalkan untuk semua subjek pada tahun 1989. KBSM ini adalah kesinambungan daripada KBSR. Semakan pertama KBSM adalah pada tahun 1990 dengan tujuan untuk memenuhi tuntutan perkembangan dunia pendidikan masa kini. Pelajar di tingkatan 4 diberi pilihan untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang sains atau sastera di sekolah harian atau sekolah berasrama penuh, bidang teknikal ataupun vokasional di sekolah teknik dan bidang agama di sekolah agama berdasarkan kelayakan, minat dan kecenderungan mereka.

Terdapat beberapa isu yang dibangkitkan semasa perbentangan, antaranya adalah kegagalan proses P&P yang dijalankan mencapai matlamat dan objektifnya. Ini kerana desakan dan kekangan daripada sistem penilaian yang dikatakan terlalu exam oriented. Jika dilihat dan diteliti, saya bersetuju dengan pendapat itu kerana pihak sekolah mahupun ibu bapa akan melihat pencapaian akademik anak mereka (berapa banyak ‘A’ yang dicapai) sebagai indicator kejayaan anak mereka. Ini akan menyebabkan guru-guru akan berusaha sedaya upaya ke arah melahirkan pelajar yang mencapai ‘A’ bagi subjek yang mereka, dan penyampaian content bagi sesuatu subjek itu telah diabaikan. Ini akan menyebabkan pelajar-pelajar belajar hanya untuk menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang sahaja dan fenomena ini agak membimbangkan kerana ia akan menyebabkan pelajar-pelajar yang dihasilkan tidak berkualiti, mempunyai tahap berdikari yang rendah dan tidak mampu untuk bersaing bilamana mereka melanjutkan pengajian diperingkat yang lebih tinggi nanti. Cadangan pihak kementerian untuk menghapuskan UPSR dan PMR dan melaksanakan penilaian berasaskan sekolah adalah satu langkah permulaan yang baik untuk menangani isu ini. Ini kerana dengan terhapusnya UPSR dan PMR, guru-guru tidak lagi terbeban dengan peperiksaan ini dan boleh menumpukan sepenuhnya kepada proses P&P dengan berkesan di dalam kelas. Isu lain yang dibangkitkan adalah kekangan masa untuk guru melakukan proses P&P dengan berkesan, di samping kekurangan pengalaman dan pengetahuan pemimpin sekolah sendiri iaitu pengetua ataupun guru besar dalam bidang kepimpinan. Kepimpinan instruktional adalah kepimpinan yang perlu ada pada setiap peminpin sekolah.

Pada kesimpulannya kurikulum merupakan rancangan untuk pembelajaran. Semua rancangan mengandungi visi yang mentakrifkan nilai sosial dan struktur yang diterjemah ke dalam pengalaman. Pengetua dan guru-guru perlu memainkan peranan penting dalam pelaksanaan kurikulum ini. Peranan mereka termasuk menginterprestasi, merancang, memodifikasi dan melaksanakan kurikulum.

No comments: